Oleh :
M. Thoyib HM
MUNGKIN ada di antara kita yang masih tertanya-tanya : "Kalau begitu mengapa pula Al-Hallaj telah dijatuhkan hukuman mati???
Barangsiapa mengenal sejarah Islam, pasti mengenal kata-kata "Ana Al-Haq". Kata-kata ini sendiri, sebenarnya sudah menggoda keawaman, apalagi kesolehan seorang Muslim.
Terlebih lagi ketika ia terkait pada riwayat dan kisah-kisah Mansur Al-Hallaj seorang Sufi besar.
Pada abad ke-14 ahli Sufi terkenal Al-Hallaj, iaitu Abu al-Mughith al-Husain ibn Mansur al-Hallaj, lahir pada 858 Masihi di Tur, Iran dan meninggal dunia (mati dipancung) di tiang gantungan pada 26 Mac 922 di Baghdad, di tepi sungai Euphrat, tempat mengalir bukan hanya sebahagian peradaban Islam, tetapi juga sebahagian peradaban dunia kita ini. Dibunuh kerana dituduh murtad dan kafir.
Dia pada mulanya mendapat pengiktirafan daripada Ulama' sezamannya. Ini kerana beliau seorang pengibadat yang sangat handal. Beliau seorang yang kuat sembahyang (solat) dan sentiasa berpuasa setiap masa.
Tetapi apabila beliau mendakwa bahawa dirinya adalah hak, beliau dipandang serong dan kafir oleh beberapa ramai Ulama'.
Beliau berkata : "Saya adalah Haq", di mana di dalam bahasa Arab disebut "Ana Al-Haq" atau disebut dalam bahasa Inggeris "I am the truth". Ungkapan itu ditafsirkan bahawa beliau menganggap zat Allah berada dalam diri.
Dengan berfalsafah sebegitu rupa, Al-Hallaj dipenjara dan disebat. Beliau kemudian disalib selepas dipotong tangan dan kakinya. Malah mayat beliau dibakar dan abunya dihanyutkan ke sungai Dajlah. Sedang kepalanya dibawa ke Khurasan untuk selanjutnya dipersaksikan oleh ummat, Islam dan sejarahnya.
Begitulah kekuasaan, masa itu, dinasti Abbasiah memuas dirinya dengan kematian Mansur Al-Hallaj.
Seorang lagi Sufi besar iaitu Syeikh Al-Syibli berkata bahawa meskipun beliau sendiri dan Abu al-Mughith al-Husain mengeluarkan kata-kata yang sama (Ana Al-Haq), tetapi beliau dibiarkan begitu sahaja kerana orang menyangkanya gila, tetapi Abu al-Mughith al-Husain disalib kerana orang menganggap dia bukan gila dan bijak pula.
Mansur Al-Hallaj, menerima pendidikan dan asuhan pertamanya daripada 'Alim Sahal Ibn 'Abdullah seorang Sufi besar yang terkenal.
Sesudah menguasai berbagai cabang pengajaran, yang religius dan intelektual, ia mengembalikan perhatiannya kepada Sufisme. Di sinilah ia menerima pengolahan rohaniah Syeikh Abul Hussain Al-Nuri, Syeikh Junaid Al-Baghdadi dan Syeikh Umar Ibn Uthman.
Dan adalah dari gurunya yang terakhir, Al-Hallaj yang tersohor itu menerima suatu alamat yang semakin berkembang sedemikian kuat dalam dirinya, sehingga ia mulai dengan gelap mata mengucapkan hal-hal yang memperkosa perintah-perintah syariat. Gurunya telah beberapa kali melarang Al-Hallaj mengucap ucapan-ucapan yang bertentangan dengan syariat itu, tetapi sia-sia; sehingga Al-Hallaj akhirnya diperintahkan meninggalkan perguruannya itu.
Begitulah Al-Hallaj meninggalkan Basra dan kembali ke Baghdad, masuk kembali ke perguruan (khanqah) Syeikh Junaid Al-Baghdadi. Tetapi juga di sini Al-Hallaj mulai lagi mengucapkan ucapan-ucapannya yang mengungkapkan rahsia Ketuhanan walaupun ia telah dilarang gurunya.
Pada suatu hari Syeikh Junaid berkata,
"Hei, Mansur, tidak lama lagi, suatu titik dari sebilah papan akan diwarnai oleh darahmu!"
"Benar", kata Al-Hallaj, "Tetapi dalam hal yang demikian, engkau juga akan melemparkan pakaian Kesufianmu dan mengenakan pakaian Maulwi - Ana Al-Haq". Kedua ramalan itu secara harafiah menjadi kenyataan.
Pada suatu hari Al-Hallaj benar-benar dirangsang oleh api cinta Ilahiahnya dan ia kembali meneriakkan "Ana Al-Haq". Dan begitulah ia terus, sering tanpa henti. Gurunya, Syeikh Junaid dan teman-temannya seperti Syeikh Al-Syibli dan lain-lainnya menasihati Al-Hallaj agar menahan hati, namun tetap tidak mempan. Al-Hallaj terus saja dengan seruan-seruannya "Ana Al-Haq" pada waktu-waktu istirehat. Lalu bangkitlah kaum Ulama' syariat melawan Al-Hallaj dengan mendapat dukungan dari Hamid Ibn Abbas, Perdana Menteri (PM) wilayah Baghdad dan akhirnya malah mengeluarkan "Fatwa Kufur", menyatakan bahawa Al-Hallaj secara hukum dapat dihukum mati.
Ketika keadaan yang sebenarnya itu akhirnya diajukan untuk mendapat persetujuan Khalifah Muqtadir-Billah, beliau menolak memberikan persetujuannya. Kecuali, kalau Fatwa itu ditandatangani oleh Syeikh Junaid Al-Baghdadi. Fatwa itu kemudiannya enam kali dikirim kepada Syeikh Junaid, tetapi kembali tanpa tandatangannya. Khalifah, untuk ke tujuh kalinya mengirimkan Fatwa itu disertai permintaan khusus agar ia menjawab "ya" atau "tidak". Menghadapi hal itu, guru yang besar itu membuang pakaian Kesufiannya, dan mengenakan jubah ke-Ulama'-annya ia menulis pada surat jawabannya :
"Menurut hukum syariat, Al-Hallaj dapat dijatuhi hukuman mati; tetapi menurut ajaran-ajaran rahsia kebenaran, Tuhan adalah maha tahu!".
[Irshadat : Syeikh Muhammad Ibrahim, Iran - Mempunyai nama jolokan, "Gazur-i-Ilahi" (the washerman of God - tukang cuci Tuhan)]
Diceritakan bahawa Al-Hallaj sebelum disalib, beliau bersembahyang (solat) dan berdoa dengan berkata :
"Mereka adalah hamba yang berhimpun, sangat dahaga untuk membunuh ku kerana agama Kau, dan untuk mendapatkan keredaan Kau, maka ampunkan mereka wahai Tuhan ku, dan memberi rahmat kepada mereka, kerana jika Kau membuka kepada mereka seperti Kau membuka kepada ku, mereka tidak akan melakukan seperti yang mereka sedang lakukan sekarang, dan jika Kau tutup pada ku seperti Kau tutup pada mereka, aku tidak akan menghadapi malapetaka ini, baiklah apa
yang Kau lakukan dan baiklah apa yang Kau mahukan."
Begitulah berakhirnya hidup Al-Hallaj dan beberapa Ulama' dan ahli Sufi lain yang hidup dalam abad ke-8 sehingga ke abad ke-14.
Tentang kes Al-Hallaj ini bukanlah menjadi rahsia lagi. Kisahnya telah diketahui umum. Ia mempunyai kekuatan dan daya tarikan yang menjadi tumpuan orang ramai di mana-mana ia berada. Seperti ahli-ahli Sufi yang lain beliau mengasihi keluarga Rasulullah SAW. Pada ketika itu keluarga Rasulullah SAW, bercita-cita untuk mengambil semula kuasa pemerintahan. Golongan Bani Abbas sudah pasti tidak merasa senang terhadap setiap tokoh seperti yang ada pada Al-Hallaj yang memberi sokongan dan simpati sepenuhnya kepada keluarga Rasulullah SAW. Oleh kerana di'ayah beliau begitu kuat tersebar luas, maka demi untuk menjaga "keamanan atau keselamatan negara" seperti yang selalunya dijadikan alasan oleh setiap yang tamakkan kuasa pastilah diambil tindakan segera.
Ramai Ulama' dituduh murtad apabila tidak sehaluan!
Kes Al-Hallaj yang menerima hukuman bunuh bukan sekali-kali bersebabkan kerana isu agama tetapi semata-mata kerana politik. Memang menjadi perkara yang amat mudah bagi pihak yang berkuasa secara kuku besi untuk memutarbelitkan kenyataan dan kedudukan kes yang sebenar, membawakannya ke muka pengadilan, serta membuktikannya dengan sebilangan besar para saksi dusta, bahkan boleh mempengaruhi dengan wang dan kedudukan untuk mencapai kehendak nafsunya. Demikianlah kes Al-Hallaj. Tidak ada kaitan pun dengan masalah agama, walaupun telah cuba dikatkannya. Semua kata-kata dan pendapatnya tidak ada dalam buku-buku atau kitab-kitab hasil dari tulisan tangan dan catitan penanya, dan setengah daripada kitabnya yang masih ada tidak menyokong dakwaan musuh-musuhnya.
Menurut neraca logik yang benar seorang jurubina tidak layak untuk memberi fatwa dalam bidang kajian perubatan atau ketabiban. Demikian juga seorang sasterawan dengan kesasterawannya tidak layak untuk memberikan fatwa dalam bidang senibina. Maka adilnya, tidaklah begitu mudah untuk membuat putusan hukum ke atas orang-orang seperti Ibnul 'Arabi, Al-Hallaj, Ibnu al-Farid, Hamzah Fansuri, Syeikh Sitijenar, kalau orang-orang itu bukan dari ahli yang setaraf dengan mereka.
Pernah dikatakan kepada seorang dari para guru yang soleh lagi dihormati bahawa : Si polan telah mengkritik Ibnul 'Arabi dalam sebuah majalah. Beliau mengatakan apakah layak seekor lipas untuk menilai amalan seekor singa? Memang ia tidak layak untuk menilai bahkan untuk memperkatakannya, kerana logik yang menjadi ukurannya adalah logik lipas.
Imam Al-Sya'rani sendiri menegaskan tentang kedudukan orang-orang yang memusihi Ibnul 'Arabi bahawa penilaian dan hukuman mereka adalah penilaian dan hukuman nyamuk yang cuba menghembus gunung dengan tujuan untuk meruntuhkannya. Yang lenyap dibawa angin ialah si nyamuk walau bagaimana banyaknya, si nyamuk itu sedangkan gunung akan tetap kukuh di tempatnya yang menjadi pengimbang putaran dunia ini.
Pendapat yang benar dan penuh insaf ialah pendapat Imam Al-Sya'rani tentang kedudukan ahli Sufi umumnya dan Ibnul 'Arabi khususnya :
"Demi umurku! Penyembah-penyembah berhala tidak berani untuk menjadikan Tuhan-Tuhan berhalanya itulah sebagai Zat Allah, sebaliknya mereka hanya mengatakan : "Kami tidak menyembahnya hanyalah semata-mata untuk menjadi perantaraan yang boleh memperdekatkan kami kepada Allah." Betapa pula Tasauf ialah akhlak. Sesiapa yang semakin bertambah akhlak bererti semakin bertambah kejernihan hatinya. Semoga Allah meredhoi mereka sekalian."
Biarlah kita sampai atau hampir sampai dahulu ke tarafnya, maka baharulah kita memberikan hukum. Maka hukuman kita itu nanti tidak akan berbeza dari hukuman para " Ulama'" salaf.
Di bawah ini saya sertakan petikan ucapan-ucapan Al-Hallaj yang melampaui (unnatural) daripada pemikiran manusia biasa.
Mansur al-Hallaj : Sayings
"ana'l-Haqq - I am the Truth."
(this is the saying which apparently earned al-Hallaj his martyrdom - al Haqq also means God)
Which means :
"Ana Al-Haqq - Aku adalah Kebenaran."
(ini adalah pengucapan yang menyebabkan al-Hallaj dihukum bunuh - al Haqq juga bermaksud Tuhan)
* "You know and are not known; You see and are not seen."
Which means :
"Kau tahu dan Kau tidak diketahui; Kau lihat dan Kau tidak dilihat."
* "Your spirit mixed with my Spirit little, by turns, through reunions and
abandons. And now I am Yourself, Your existence is my own, and it is also my will."
Which means :
"Semangat Engkau bercampur dengan semangat ku sedikit demi sedikit oleh pusingan (peredaran), melalui penyatuan semula dan perpisahan (tanpa rasa takut) dan kini aku adalah diri Mu, kebenaran Mu adalah aku sendiri dan ianya juga adalah kehendak ku (keupayaan).
* "I find it strange that the divine whole can be borne by my little human part, Yet due to my little part's burden, the earth cannot sustain me."
Which means :
"Aku mendapati suatu keganjilan yang seluruh kecintaan, boleh dilahirkan oleh tubuh ku yang kecil, sehinggakan disebabkan oleh bebanan yang kecil, bumi tidak dapat menanggung ku."
* "I have seen my Lord with the eye of my heart, and I said : "Who are You?" He said : "You.""
Which means :
"Aku telah melihat Tuhan ku dengan mata hati, dan aku berkata : "Siapa Kau?" Dia berkata : "Engkau.""
* "I do not cease swimming in the seas of love, rising with the wave, then descending; now the wave sustains me, and then I sink beneath it; love bears me away where there is no longer any shore."
Which means :
"Aku tidak berhenti berenang dalam lautan cinta, timbul bersama gelombang, kemudian turun ke bawah (go down). Kini gelombang menetapkan (support/maintain) aku, dan kemudian aku tenggelam dibawahnya. Cinta membawa aku pergi di mana tidak ada lagi pantai."
Kata-kata yang cukup simbolik dan "mencarik adat", serta di luar daripada pemikiran waras manusia biasa. Dengan penzahiran kata-kata sebegini jugalah beliau dituduh murtad dan kafir bagi mereka-mereka yang tidak sehaluan dengan fahaman dan aliran Sufismanya yang penuh dengan mistik tradisional.
Bagi saya ucapan-ucapan beliau ini "is not tangible", iaitu sesuatu yang tidak dapat dirasai oleh sentuhan. Tetapi ianya bukanlah khayalan dan terbukti kebenaran!
Saya juga tertarik dengan ulasan Syeikh Fariduddin 'Attar seorang ahli Sufi dari Iran, pengarang kitab Tazkiratul-Auliya', berkenaan dengan Al-Hallaj katanya :
"Alangkah sedihnya seorang Sufi yang agung ini (Al-Hallaj) tidak difahami oleh orang-orang sezamannya. Anda boleh hormati pokok jika ia berkata "Ana Al-Haq" (Akulah Yang Benar), tetapi kenapa seorang manusia yang menucapkan kata-kata itu disalib pula. Anda patutlah tahu bahawa perkataan seperti itu adalah diucapkan oleh orang-orang Sufi yang agung yang dalam keadaan "dzauk" (mabuk) Allah atau fana' diri, dan mereka berucap seperti itu melalui Allah. Atau dengan lain perkataan, Allah yang bercakap melalui lidah-lidah mereka. Diri mereka itu telah "mati"."
AKHIR sekali, kita boleh bertanya sekarang. Ada apa makna Mansur Al-Hallaj dengan "Ana Al-Haq" itu sampai naik ke tiang gantungan? Kekuatan apa gerangan yang telah menggebu Mansur Al-Hallaj? Kepentingan apa pula yang telah bermain sehingga pemerintah akhirnya membawa seorang Sufi sebesar itu ke tiang gantungan dan membakar mayatnya supaya ia pupus?
Jawapan terhadap pertanyaan tersebut, pertama-tama mungkin lebih bersifat sejarah, ketimbang yang lainnya. Tetapi tidakkah sejarah itu juga lautan Iman, ilmu dan hari depan?
Dapatkah Tuhan difahami tanpa sejarah?
Dapatkah Al-Quran, ilmu dan amalan berada di luar sejarah?
Wallahu ta'ala a'lam.......
Wassalamu.......